Tuesday, September 7, 2010

Sempurna

bismillah





Tuhan,
dengarlah rayuanku
dengarlah dombaku
mana mungkin Engkau tidak mendengar
sedangkan sifatMu yang sempurna adalah Maha Mendengar

Tuhan,
Kau jadikan aku,
Kau ciptakan aku,
hanya untuk menyembahMu, mencintaiMu
sedangkan cintaku padaMu masih bermusim, sembahanku selalu berwaktu

Tuhan,
tiada aku tanpaMu,
hina aku kerana KemuliaanMu,
betapa bergantungnya aku kepadaMu sebagai Tuanku, Tuhanku
sedangkan aku masih bertuankan nafsu

Tuhan,
jagalah aku,
temankan aku,
siapa yang boleh menjagaku, kalau Engkau yang jaga segalanya
aku bimbang kalau Kau tinggalkan aku, musnahlah hidupku

Tuhan,
singkat benar hidup ini,
cepat benar masa berlalu,
aku masih berkejar-kejar dengan dunia,
sedangkan aku tahu yang dikejar itu mutlaknya redhaMu

Tuhan,
betapa bodoh aku,
betapa tuli aku,
aku persiakan jiwa ku kepada selainMu, mencintai selainMu
sedangkan aku faham benar CintaMu sentiasa berbalas, sentiasa berbaloi

Tuhan,
panggillah aku,
serulah aku,
andai ada redhaMu keatas diriku,
beruntunglah aku kerana hanya redhaMu yang paling mahal

Lemas dalam Rindu
Tenggelam dalam Tangisan